Sunday, January 30, 2011

Manusia & Intergriti

Manusia dan intergriti...? Apa sebenarnya? Kadang-kala manusia mudah lupa tentang diri mereka sendiri. Terlalu leka dengan kemewahan dunia atau sengaja tidak mahu melihat siapa diri sebenarnya. 

Di dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan kekalutan ini, manusia kadang-kala tewas dengan segala pujuk rayu serta godaan yang diterima dari hari ke hari. Ini menguji intergriti diri samada kita masih terus berpegang dengan prinsip hidup kita atau kita sudah semakin jauh dengannya. Manusia terlalu lemah di dalam memelihara intergritinya kerana manusia itu terlalu mudah dipengaruhi dan mempengaruhi. Tiada prinsip hidup yang baik dan kuat akan memberikan jalan dan ruang buat manusia lain menguji intergriti manusia itu. Kita sering meminta kepada anak-anak generasi baru untuk membina prinsip hidup yang baik dan tinggi nilai positifnya tetapi kita lupa apa yang kita utarakan kepada mereka bukan seperti yang kita pertahankan dan kita amalkan. Salahkah untuk anak-anak ini keliru dengan maksud orang dewasa? Manakah salahnya? 

Intergriti akan wujud dalam diri seorang insan yang memiliki prinsip hidup positif yang tinggi. Intergriti hanya akan wujud di dalam hati insan-insan yang tahu tentang perbezaan yang wujud di antara baik dan buruk. Mengapa? Kerana orang yang tidak mempunyai intergriti adalah orang yang tiada pendirian di dalam hidupnya dan dia lebih suka membuat sesuatu demi untuk materialistik semata-mata tanpa memikirkan kehidupan generasi-generasi yang dia warisi di masa hadapan.

Sukarkah untuk kita memelihara intergriti kita sebenarnya? Di dalam dunia yang serba membangun dan bersaing, intergriti manusia sering dipertaruhkan. Tetapi semuanya terletak kepada diri kita sendiri kerana yang menentukan masa hadapan kita adalah diri kita dan bukan orang lain. Jadi, masih salahkah dunia yang wujud dengan simbol kemewahan ini? Tidak sama sekali kerana erti kemewahan itu kita ciptakan sendiri. Sekiranya kita memilih untuk kemewahan itu dengan erti kata kita memilik 3 hingga 4 buah kereta mewah, rumah banglo, duit yang berkepuk-kepuk, maka, hala tuju kita akan ke arah yang sama. Tetapi, andai kita memilih kemewahan itu adalah keserdehanaan semata-mata, maka, hala tuju itu yang kita mahu hidupkan. 

Ukurlah baju di badan sendiri. Hiduplah dengan kemampuan yang kita ada kerana kita tahu apa yang kita mampu dan kita takkan pernah meminta lebih daripada itu. Terus-terusanlah menyemai benih intergriti dan prinsip yang baik di dalam diri yang setelah sekian lama ibu dan ayah kita bina di dalam diri kita sejak kecil lagi. Jangan lupa pada asal usul kita. Jangan riak dan takbur serta janganlah memilih kehidupan yang bukan atas landasan hidup kita yang sebenarnya. Baliklah ke pangkal jalan ke arah landasan hidup kita yang telah terbina. Ikutlah haluan itu dengan keredhaan dan mohonlah daripada Dia Yang Maha Kuasa untuk segala-galanya kerana Dia sahaja yang mampu mengubah kehidupan kita bukan orang lain. Ingatlah bahawa rezeki yang kita miliki adalah semua daripada Dia dan sekiranya rezeki itu bukan untuk kita tetapi kita cuba mengambilnya daripada orang lain maka, hilang keberkatan rezeki itu dari kita dan pasti akan ada pembalasan daripada Dia Yang Maha Kuasa.
  

Friday, January 28, 2011

Kesungguhan & Kepercayaan

Assalammualaikum.. & Salam Sejahtera...

Alhamdullillah.. semalam selesai sudah satu garapan ilmu baru yang diterima. Kekadang kita merasakan kita sudah memiliki segalanya malahan kita merasakan kita sudah mengetahui segalanya. Perkara-perkara yang kita kadang-kala anggap mudah tidak semestinya mudah dan perkara yang kita anggap sukar tidak semestinya sukar untuk kita kecapi. Apa-apapun semuanya terpulang kepada kehendak dan kemahuan kita. Seandainya kita mahukannya pasti kita akan cuba sedaya upaya memilikinya. 

Seperti kata Andrew Matthew, kita sering kali melakukan perkara yang kita percaya. Kepercayaan itu adalah cara dan gaya hidup kita. Kita akan menjalani kehidupan seperti mana yang kita percaya. Maka, rakan-rakan, andaikata kepercayaan kita itu suatu kegagalan, maka akan terus-terusanlah kegagalan itu kita alami. Sekiranya kepercayaan kita adalah apa jua yang kita lakukan pasti akan mencapai kejayaan, maka, KEJAYAAN itu adalah milik kita.

'PASSION' adalah satu kuasa yang dapat memberikan perubahan dan kejayaan. Lakukan sebarang perkara dengan kesungguhan kerana itu akan terlihat di wajah kita. Segala penerangan yang menyakinkan adalah yang dikeluarkan daripada hati kita dengan nilai 'PASSION' yang sebenar. Dengan memiliki 'PASSION', kita mampu menyakinkan ramai orang untuk mempercayai kita. Tetapi ingatlah biarlah apa yang kita cuba lakukan adalah perkara yang baik-baik sahaja agar kita menggunakan 'PASSION' itu ke arah yang baik.

Tuesday, January 25, 2011

Salam Pertemuan

Salam buat semua yang bertandang ke blog saya..

Sesuatu kelainan yang ingin saya cuba. Saya belum pernah mencuba untuk membuat blog sendiri tetapi atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, apalah salahnya kan...:-) Semoga apa yang akan kita perbincangkan di sini nanti akan mendatang pengetahuan untuk perkongsian bersama rakan-rakan sekalian. 

Salam pertemuan buat semua.. tidak sabar rasanya ingin terus-terusan menulis di dalam blog ini.. Ayuh rakan-rakan sekalian sekiranya ada kesempatan anda semua, ayuhlah berkongsi segala pengetahuan dan ilmu bersama. Semoga ilmu yang dikongsi bersama akan membawa kepada keredhaan daripada Dia Yang Maha Kuasa..

Semoga kita bertemu lagi.. Salam pertemuan dan salam sejahtera... Assalammualaikum..