Sunday, January 30, 2011

Manusia & Intergriti

Manusia dan intergriti...? Apa sebenarnya? Kadang-kala manusia mudah lupa tentang diri mereka sendiri. Terlalu leka dengan kemewahan dunia atau sengaja tidak mahu melihat siapa diri sebenarnya. 

Di dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan kekalutan ini, manusia kadang-kala tewas dengan segala pujuk rayu serta godaan yang diterima dari hari ke hari. Ini menguji intergriti diri samada kita masih terus berpegang dengan prinsip hidup kita atau kita sudah semakin jauh dengannya. Manusia terlalu lemah di dalam memelihara intergritinya kerana manusia itu terlalu mudah dipengaruhi dan mempengaruhi. Tiada prinsip hidup yang baik dan kuat akan memberikan jalan dan ruang buat manusia lain menguji intergriti manusia itu. Kita sering meminta kepada anak-anak generasi baru untuk membina prinsip hidup yang baik dan tinggi nilai positifnya tetapi kita lupa apa yang kita utarakan kepada mereka bukan seperti yang kita pertahankan dan kita amalkan. Salahkah untuk anak-anak ini keliru dengan maksud orang dewasa? Manakah salahnya? 

Intergriti akan wujud dalam diri seorang insan yang memiliki prinsip hidup positif yang tinggi. Intergriti hanya akan wujud di dalam hati insan-insan yang tahu tentang perbezaan yang wujud di antara baik dan buruk. Mengapa? Kerana orang yang tidak mempunyai intergriti adalah orang yang tiada pendirian di dalam hidupnya dan dia lebih suka membuat sesuatu demi untuk materialistik semata-mata tanpa memikirkan kehidupan generasi-generasi yang dia warisi di masa hadapan.

Sukarkah untuk kita memelihara intergriti kita sebenarnya? Di dalam dunia yang serba membangun dan bersaing, intergriti manusia sering dipertaruhkan. Tetapi semuanya terletak kepada diri kita sendiri kerana yang menentukan masa hadapan kita adalah diri kita dan bukan orang lain. Jadi, masih salahkah dunia yang wujud dengan simbol kemewahan ini? Tidak sama sekali kerana erti kemewahan itu kita ciptakan sendiri. Sekiranya kita memilih untuk kemewahan itu dengan erti kata kita memilik 3 hingga 4 buah kereta mewah, rumah banglo, duit yang berkepuk-kepuk, maka, hala tuju kita akan ke arah yang sama. Tetapi, andai kita memilih kemewahan itu adalah keserdehanaan semata-mata, maka, hala tuju itu yang kita mahu hidupkan. 

Ukurlah baju di badan sendiri. Hiduplah dengan kemampuan yang kita ada kerana kita tahu apa yang kita mampu dan kita takkan pernah meminta lebih daripada itu. Terus-terusanlah menyemai benih intergriti dan prinsip yang baik di dalam diri yang setelah sekian lama ibu dan ayah kita bina di dalam diri kita sejak kecil lagi. Jangan lupa pada asal usul kita. Jangan riak dan takbur serta janganlah memilih kehidupan yang bukan atas landasan hidup kita yang sebenarnya. Baliklah ke pangkal jalan ke arah landasan hidup kita yang telah terbina. Ikutlah haluan itu dengan keredhaan dan mohonlah daripada Dia Yang Maha Kuasa untuk segala-galanya kerana Dia sahaja yang mampu mengubah kehidupan kita bukan orang lain. Ingatlah bahawa rezeki yang kita miliki adalah semua daripada Dia dan sekiranya rezeki itu bukan untuk kita tetapi kita cuba mengambilnya daripada orang lain maka, hilang keberkatan rezeki itu dari kita dan pasti akan ada pembalasan daripada Dia Yang Maha Kuasa.
  

No comments:

Post a Comment