Thursday, August 16, 2012

Fantasi Dan Realiti

Antara realiti dan fantasi. Pernahkah di antara kita berada di dalam situasi ini? Apakah yang kita rasa? Fantasi sebenarnya boleh menjadi refleks pada realiti yang kita alami ataupun bukan. Mampukah kita merealisasikan fantasi yang kita idamkan atau kita fikirkan?

Kadang kala, fantasi itu yang kita lihat amat menarik berbanding realiti yang kita hadapi. Fantasi merupakan kelahiran emosi dan fikiran yang membayangkan sesuatu yang kita inginkan. Realiti pula adalah sesuatu yang benar benar terjadi dalam hidup kita. Ada ketikanya kita tidak menyukai realiti yang berlaku dalam kehidupan kita. Akan tetapi kita haruslah menerima ketentuan daripadaNya dengan hati yang terbuka dan redha. Takdir itu adalah yang terbaik untuk kita dan Dia mengetahui segalanya.

Fantasi mampu direalisasikan dengan kekuatan usaha diri kita sendiri. Usaha itu tangga kejayaan. Usaha mampu untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik selagi ia terus di landasan yang benar. Kejayaan mampu membawa fantasi menjadi realiti. Apa yang pasti fantasi yang baik boleh menjadi realiti yang baik juga. Selamat berfantasi dan menjadikan ia realiti (seharusnya mesti yang baik baik sahaja ye....:-)).

Sunday, July 8, 2012

Menghormati Hak Orang Lain

Menghormati hak orang lain...itu satu perkara yang perlukita lihat dan lakukan! Sekiranya hak kita, kita tak mahu dicemari, maka, kita juga perlu menghormati hak orang lain.

Aku agak pelik apabila wujudnya orang yang tak memahami apa yang dimaksudkan oleh orang lain. Pada suatu ketika, seorang lelaki yang kononnya 'macho' ingin mengambil gambar seorang perempuan ini yang ku kira tiada la lawa mana pun...tapi comel tue ada kot.... Pada ketika itu, perempuan itu sedang bercakap di dalam telefon bersama kawannya. Lelaki itu terus ingin mengambil gambarnya tetapi dihalang perempuan tesebut. Katanya,"Jangan la ambik gambar saya".. tetapi lelaki yang perasan 'macho' itu terus juga mengambil walaupun telah dihalang beberapa kali. Kan ke jenis yang tak faham bahasa namanya! Ketika itu, perempuan itu merasakan hak peibadinya telah dicemari. Wajarkah lelaki itu mengambil gambarnya apabila perempuan itu terus terusan menghalang? Itukan namanya tidak menghormati pendirian dan kemahuan peribadi orang lain.

Jangan kita merasakan kita boleh melakukan apa saja ke atas orang lain tanpa kita menghormati cara dan pendirian mereka. Lebih lebih lagi berlainan jantina. Ke mana kita hendak lari, kalau itu yang kita lakukan pada orang, maka, takkan mustahil suatu hari nanti perkara yang sama berlaku pada kita. Ish ish ish....takutnye...

Friday, June 22, 2012

Sahabat Takkan Pernah Berubah Hati

"Sahabat takkan pernah berubah hati, walaupun musim silih berganti." Begitulah seharusnya seorang sahabat lakukan untuk sahabatnya.. Pada aku, aku bersyukur kepadaNYA kerana dikurniakan padaku sahabat yang sebegitu.

Seorang yang bergelar sahabat itu tidak mungkin sanggup melukakan sahabatnya, takkan sanggup mengkhianati sahabatnya dan takkan sanggup melupakan sahabatnya. Adakah kita orang yang sebegitu? Adakah kita seorang yang sanggup melukakan hati, mengkhianati dan melupakan sahabat kita? Jika ya, kita sebenarnya bukan sahabat malahan boleh menjadi musuh dalam selimut kepada mereka yang kita anggap sahabat. Jauhkan diri dari orang yang sebegini. 


Seorang sahabat sanggup bersusah payah demi kerana sahabatnya yang lain. Seorang sahabat bukan hanya untuk begembira tetapi yang sanggup menangis bersama. Seorang sahabat sanggup membantu sahabatnya yang lain ketika sahabatnya susah. Seorang sahabat itu sanggup membiarkan hatinya teluka demi untuk membahagiakan hati sahabat yang lain. Pendek  kata seorang sahabat itu adalah reflek dari dirinya sendiri.

Terpaksa Menyerah?

Semasa kita melepaskan sesuatu itu, samada redha pada perkara itu atau sebenarnya pasrah pada perkara itu, kita sendiri tidak pasti. Cuba tanyakan pada hati kita samada kita sebenarnya redha atau pasrah apabila berlakunya sesuatu perkara itu lebih lebih lagi, apabila kita terpaksa melepaskan sesuatu yang kita sayang atau yang kita amat perlukan. Selalunya kita lebih pasrah daripada redha apabila keadaan ini berlaku. Benar seperti kata kata di dalam filem 'Ombak Rindu' iaitu, 'Redha itu menerima, pasrah itu menyerah'. Kebiasaannya, kita lebih rela menyerah dan membiarkan perkara itu berlalu di dalam hidup kita hingga kita dapat melupakannya suatu hari nanti. Tetapi tanpa kita sedar, kita tak mampu pun melepaskannya pergi dan perkara itu masih lagi wujud lagi di dalam hati.

Itu membawa kita kepada sebenarnya masalah hati, di mana, kita tidak benar benar ikhlas melepaskannya. Ikhlas tak dapat diperkatakan oleh tutur kata, ia hanya antara hati kita dengan Dia yang di atas sana. Kita akan tahu bila kita benar benar ikhlas melepaskan dan kita akan tahu bila mana kita sebenar benarnya ikhlas.

Kepada insan insan yang mengambilnya daripada insan insan yang terpaksa melepaskan pula tidak rasa apa apa. Apa yang mereka ini tahu adalah bergembira dengan hak orang lain. Tidak sedar dan terus tidak sedar. Apa nak jadi pada mereka ini? Sudah memang tak boleh nak buat apa pada mereka ini... Apa yang mampu diri kita buat adalah belajar untuk redha dengan semua perkara dan redha kerana Allah...pasti kita dapat melepaskannya pergi dan yang kita rasa milik kita itu sebenarnya adalah milik mutlak dari Dia Yang Maha Esa.

Wednesday, March 7, 2012

Fahami Dengan Jiwa

Aku nak mulakan cerita dengan suatu persoalan. Bagaimana mampu untuk kita membuatkan orang sekeliling memahami kita? Pasti dengan memahami mereka. Aku nak cerita tentang manusia yang ku kira kira jenis yang saja nak buat buat tak faham.

Rupanya ramai yang jenis begitu. Jenis yang buat buat tak faham. Sudah dijelaskan, sudah diterangkan, juga sudah diperhalusi, masih juga tak mahu faham faham. Membuatkan yang lain disekelilingnya jadi binggung. Adakalanya jadi tidak menentu. Mengapa tergamaknya dia? Buat begitu. 

Menyakitkan hati, memedihkan rasa dan melukakan jiwa. Itu yang dia lakukan. Walau seribu kali kemaafan dipinta, walau seribu kali juga kemaafan diterima, hanya dengan jiwa yang benar, hanya dengan hati yang ikhlas, kesilapan tiada lagi terulang. 

Wahai rakan rakan tersayang, andai kita tahu kita melakukan kesilapan, andai kita tahu kita melukakan, andai kita tahu kita menyakitkan, maka, sedarlah kita dengan jiwa yang sebenar agar tiada lagi kita tergamak lakukan sesuatu yang melukakan, menyakitkan sekali lagi.

Wednesday, January 25, 2012

Insan Lain Juga Punya Hati

Assalammualaikum, waduh sudah lama benar tak jengok blog nie. Rindu gak nak menulis.. Aku ada sedikit cerita yang terkini...

Tak faham dan tak mengerti, mengapa ada insan yang kadang kala tak sedar apa yang diperkatakan oleh dirinya. Pernah tak dia rasa dia akan menyakiti hati orang lain? Baik ke kalau kita sakitkan hati orang lain? Apa kita rasa kalau orang kata dan sakitkan hati kita? Mungkin dia ini tak rasa atau dia saja buat buat tak rasa. Takkan ada orang yang disakiti tak sakit hati kan? 
Mungkin benar dia tak rasa apa apa. Tetapi itu bukan alasan untuk dia menyakiti hati orang lain. Ada pelbagai cara untuk kita menyatakan maksud agar orang lain memahami. Mengapa dia tak mahu untuk berfikir cara atau kaedah yang lain? Perlukah untuk dia menyuarakan ketidakpuasan hatinya di khalayak ramai? Aku rasa itu tak perlu!

Wahai insan yang mempunyai hati, 
Jagalah perilaku serta kata katamu agar tidak menyinggung perasaan insan lain,
Wahai insan yang mempunyai hati, 
Berikanlah sentuhan sensitivitimu kepada hati insan lain,
Wahai insan yang mempunyai hati, 
Hati insan lain juga perlu dijaga,
Wahai insan yang mempunyai hati,
Andai engkau benar benar punyai hati,
Mengertikan, fahamikan, insan lain juga punya hati. 

Monday, November 28, 2011

Kesungguhan Itu Menyentuh Hati Mereka Yang Menghargai

Persoalannya bukan kemenangan yang diinginkan tetapi kesungguhan yang ditunjukkan menjulang kemenangan yang mutlak. Kekal di dalam ingatan..kekal di dalam hati..kekal di dalam memori. 

Adakalanya kita perlukan kemenangan itu. Bukan untuk sesiapa tetapi untuk diri sendiri. Diri yang telah bertungkus lumus berusaha untuk mengecapi kemenangan. Segala tenaga telah dikerahkan, segala masa telah diluangkan, dan segala material telah dikorbankan hanya untuk mengecapi kemenangan. Begitu bersungguhnya mereka. Keikhlasan terserlah di wajah wajah mereka. Minat yang mendorong mereka untuk meneruskan walaupun begitu sukar. Segala kesukaran ditempuhi bersama bagi memperoleh kesenangan. Sebegitu hati hati mereka ini. Tetapi masih ada yang tidak mengerti atau cuba untuk mengerti. Tetapi masih wujud manusia yang ingin meretakkan semua yang telah dibina.

Wahai hati hati itu, jangan mengalah. Jangan hiraukan mereka yang tidak mengerti. Jangan pedulikan mereka yang tidak mahu menghargai. Aku begitu kagum dengan hati hati ini. Segala yang dipertaruhkan dan diperjuangkan bagiku bukan untuk kemenangan tetapi mereka ini telah peroleh kejayaan di hatiku dan jua hati hati mereka yang ingin menghargai. Kesungguhan itu telah menyentuh hati mereka yang tahu menghargai.