Monday, November 28, 2011

Kesungguhan Itu Menyentuh Hati Mereka Yang Menghargai

Persoalannya bukan kemenangan yang diinginkan tetapi kesungguhan yang ditunjukkan menjulang kemenangan yang mutlak. Kekal di dalam ingatan..kekal di dalam hati..kekal di dalam memori. 

Adakalanya kita perlukan kemenangan itu. Bukan untuk sesiapa tetapi untuk diri sendiri. Diri yang telah bertungkus lumus berusaha untuk mengecapi kemenangan. Segala tenaga telah dikerahkan, segala masa telah diluangkan, dan segala material telah dikorbankan hanya untuk mengecapi kemenangan. Begitu bersungguhnya mereka. Keikhlasan terserlah di wajah wajah mereka. Minat yang mendorong mereka untuk meneruskan walaupun begitu sukar. Segala kesukaran ditempuhi bersama bagi memperoleh kesenangan. Sebegitu hati hati mereka ini. Tetapi masih ada yang tidak mengerti atau cuba untuk mengerti. Tetapi masih wujud manusia yang ingin meretakkan semua yang telah dibina.

Wahai hati hati itu, jangan mengalah. Jangan hiraukan mereka yang tidak mengerti. Jangan pedulikan mereka yang tidak mahu menghargai. Aku begitu kagum dengan hati hati ini. Segala yang dipertaruhkan dan diperjuangkan bagiku bukan untuk kemenangan tetapi mereka ini telah peroleh kejayaan di hatiku dan jua hati hati mereka yang ingin menghargai. Kesungguhan itu telah menyentuh hati mereka yang tahu menghargai.

Sunday, November 13, 2011

Kuatnya Dia...

Sudah lama benar aku tidak melayari blog ini. Bukannya tak ada cerita. Banyak yang ingin aku ceritakan, cuma, kesempatan itu tiada. Ini ada sedikit coretan buat teman-teman. 

Kadang-kala di dalam kehidupan ini kita amat menyakini bahawa kita sering menghadapi dugaan lebih daripada orang lain tetapi sebenarnya ada yang lebih menghadapi dugaan yang begitu besar. Pernah kita mendengar pepatah ada menyatakan bahawa, "Kalau kita ingat kita susah, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita." Benar kata-kata itu. Apa yang aku dengar baru-baru ini telah menyentuh hatiku.

Orang yang selalu kulihat begitu ceria tetapi peritnya tiada terduga. Orang yang kulihat begitu tenang wajahnya rupanya begitu kelat manisnya. Apa yang dialami rupanya jauh daripada apa yang aku gambarkan. Baik hatinya membuka ruang bagi membantu insan-insan tersayang sehinggakan dirinya melalui hidup yang amat menyakitkan. Entah makan atau tidak. Entah senang tidurnya atau tidak. Entah mandinya benar-benar basah atau tidak.

Kuharap dia akan terus kuat sekuat batu di lautan. Walaupun dihempas ombak namun tidak berganjak. Kuharap dia mampu mencari jalan seperti melihat cahaya yang terang di dalam kegelapan. Cahaya menjadi panduan untuk ke jalan keluar sebagai penyelesaian. Semoga Allah mengujinya sekuat dugaan yang mampu diterimanya. Semoga pahala yang besar menanti dirinya di duniamu Tuhan. Insya Allah....

Wahai sahabat, kuatlah dalam menghadapi dugaan. Tuhan tetap bersama untuk menemani. Kerana hanya pada DIA kekuatan yang mutlak diperolehi.

Monday, July 18, 2011

Aku Dan Dia

Hatiku hari ini amat sedih. Air mata bagaikan tak mahu berhenti mengalir. Ketentuan yang Allah telah tetapkan untuk hambaNYA bersabar dan mengharungi segalanya dengan redha. Walaupun redha, mengapa air mata ini terus mengalir.

Terlalu lama telah kukenali dia. Perpisahan ini begitu memberikan kesan buat hati ini. Tiada usaha yang dapat dibuat lagi. Tiada kuasa yang dapat dipertahankan lagi. Semuanya telah ditentukan oleh Dia Yang Maha Kuasa. Dia benar-benar menguji diri ini. Hati, bersabarlah, kerana ini telah tertulis perjalanannya. 

Aku kuatkan hati ini untuk menerima segala. Agar persahabatan ini takkan terputus buat selamanya. Sukar untuk kuungkapkan betapa sayangnya aku pada dia. Terima kasih Ya Allah, kerana pertemukan aku dengan dia. Terima kasih kerana aku dapat belajar dari dia. Terima kasih Tuhan kerana perkuatkan ikatan aku dan dia. Ya Allah, pertahankanlah pertalian persahabatan aku dan dia hingga ke akhirnya.... Insya Allah....


Wednesday, May 11, 2011

Manusia Ada Kelemahan & Kekuatan Tersendiri

"Bodoh, Stupid, Goblok (entah camner ejanyer)"... Adui, sedapnya la dia berkata-kata. Suka hati jer. Ingat kitaorang semua nie siapa?

Memang la kitaorang nie bukannya berpangkat besar. Bukan juga orang yang ada-ada. Bukan juga pengarah kementerian mana-mana. Tapi...kami semua nie pun manusia biasa. Jangan la ingat nak sedap mulut je. Ingat sama hati dan perasaan orang lain.  

Kita jangan ingat kita berpangkat besar, kita tahu segalanya. Pada dasarnya, ada pun fakta yang diberi silap juga. Jangan kita suka-suka membodohkan, mem'stupid'kan orang lain, kerana kita tidak tahu apa yang mereka tahu. Tah-tah ilmu mereka lebih tinggi daripada kita. Kan dah malu kalau mereka menyuarakan pada ketika itu juga. Mujurlah, mereka-mereka ini di antara orang-orang yang sabar. Kalau tidak, mahu pecah bilik seminar tadi. Ish..ish...ish..tak mampu dibayangkan.
Kita semua manusia adalah sama. Pandai, bijak atau tidak bukan ukuranya. Kita mungkin tidak bijak atau pandai di dalam sesuatu perkara itu tetapi...ingat bukan kita tidak pandai di dalam sesuatu perkara yang lain. Allah telah menciptakan manusia yang setiapnya mempunyai kelemahan malah juga kekuatan. Yang penting, samada kita mahu kelemahan itu menjadi kekuatan. Pasti apa yang kita tidak tahu mampu kita belajar daripada mereka yang lebih mengetahuinya.Kita seharusnya menghormati dan menghargai sesama manusia. Ingatlah, bukan kita yang paling bijak atau pandai tetapi Dia Maha Mengetahui segalanya.

Tuesday, April 26, 2011

Ingat Sihat sebelum Sakit

Aduh...sakitnya.. Bukan setakat sakit malahan tak bermaya segala urat sendi anggota tubuh badan keseluruhannya. Nak bangun pun tak berdaya apatah lagi nak buat segala kerja. Ish...ish..ish...tak termampu rasanya.

Wahai teman-teman, 
Pabila tiba saat kita sakit, kita takkan mampu melakukan apa jua perkara. Muntah, demam, selsema dan segalanya telah menguasai kita. Apa yang kita akan lakukan? Waktu itu kita sendiri takkan mampu untuk berfikir walaupun sejenak cuma.

Benarlah kata-kata yang sering kita dengar "Ingat sihat sebelum sakit". Maka, hargailah tenaga kita di mana tika dan waktu kita sihat. Lakukanlah perkara dan tanggungjawab kita sewaktu kita sihat. Kerana bila tiba dan waktu kita sakit, kita akan mula sedar dan akan mula menghargai saat dan waktu ketika kita sihat.

Monday, March 28, 2011

Ingat Siapa Diri KIta

"Assalammualaikum Encik..kami dari..." "Tak pe..tak pe..nanti saya beli satu Giant bagi kat kamu," kata seorang pakcik berT-shirt kuning di Giant Kota Damansara, sambil terus berlalu memasuki Giant tanpa memandang aku walau sekilas pandang pun. Ish..ish..ish.. Ada juga orang macam nie? Kalau tak berminat nak dengar sekalipun, rasanya tak perlulah nak cakap macam tu kan. Dah la bercakap macam orang bongkak, sombong.. Entah la..

Kalau tak berminat untuk menderma sekalipun, tak usahlah berkata-kata begitu.. sakitnya hati sukarelawan yang mendengar. Ish...ish..ish..masih ada lagi insan sebegini di dunia sekarang...
Adakah kita begitu? Adakah kita akan menjadi begitu? Atau adakah kita menyedari sejauhmana martabat diri kita, maruah diri kita dan juga pendirian diri kita sendiri. Sekiranya kita lupa & tidak tahu, cepat-cepatlah kita menyedarinya dan berubah. Sekiranya kita bukan begitu, syukurlah kepada Dia Yang Maha Kuasa kerana memberikan jiwa yang baik untuk kita. Kita seharusnya ingat bahawa terlalu banyak dugaan dan cabaran di dalam dunia sekarang. Sekiranya kita tidak kuat, sekiranya kita leka dan lupa, pasti kita akan kecundang jua. Kuatlah rakan-rakanku. Pertahankan jiwa dan raga kita ke arah kebaikan. Teruskanlah melakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Semoga kita sentiasa akan dirahmati olehNya. Semoga kita akan disenangi dan dihormati oleh masyarakat dan negara.

Friday, March 25, 2011

Siapa Kita Sebenarnya

Kita semua manusia biasa. Kita sering terlupa akan mana letaknya diri kita. ada di antara kita yang cuba menguasai keadaan, ada di antara kita yang suka menyendiri, ada di antara kita yang sanggup melakukan segalanya atas kepentingan diri sendiri dan ada di antara kita yang melakukan sesuatu untuk orang lain.

Tetapi kita mesti ingat siapa diri kita. Sedar akan kedudukan diri kita. Kerana kita tidak tahu bila masa kita akan menyakiti hati insan lain dengan tindakan kita. Kita juga tidak tahu bila masa kita akan berjaya dan menemui kegagalan. Kita kena bersedia. Kita kena prihatin. Kita juga perlu mempunyai kesedaran. 

Semoga kita sedar siapa kita. Semoga kita akan bertindak dan tahu apa yang kita pertahankan. Semoga kita menjadi insan yang menggerakkan apa yang dipertahankan. Semoga kita menjadi insan yang disenangi dan dihormati oleh orang lain. Insya Allah...

Wednesday, March 23, 2011

Risau Hati..

Di saat ini, dia sering memikirkan tentang si dia. Adakah dia sakit? Atau adakah dia selamat? Sudah sekian lama dia tidak nampak sahabatnya. Risau di hati itu ada tetapi ego dirinya juga ada.

Bila dilihat, bila ditenung dan pabila difikirkan, masakan ada berlaku sesuatu padanya. Masakan ada berlaku yang buruk pada dia. Ya Allah, Kau lindungilah dia. Tiada dia mendengar apa-apa khabar berita. Jangankan kata yang baik, yang buruk pun tidak ada. Tetapi, dia sentiasa mengingati sahabatnya. Dia juga sentiasa berdoa agar persahabatannya dengan sahabatnya takkan putus seperti sekarang. Tetapi, apakan daya dia. Doa jua kepada Allah Yang Maha Kuasa. Agar semuanya berlaku yang terbaik untuk sahabatnya dan juga dia.

Mahu tahu, mahu selidiki, tetapi risau jua datang. Tidak apalah, asalkan hidup sahabatnya sentiasa bahagia. Asalkan hidup sahabatnya tiada derita. Asalkan sahabatnya sihat-sihat sahaja. Semoga hidup sahabatnya sentiasa aman, gembira dan sihat dilindungi Allah hendaknya.

Lupakah kita?

Bila membaca apa yang ditulis oleh seorang insan yang aku kagumi, aku juga tefikir akan diriku sendiri. Kadang-kala kita sendiri terlupa atau sengaja lupa untuk bersyukur. Apa yang telah kita semua perolehi di dalam dunia ini semuanya adalah daripada Dia Yang Maha Kuasa. Tetapi apa yang kita sering lakukan? Lupa pada Dia..lupa pada segala yang dikuriakan olehNya. 


Sukar ke kita untuk bersyukur? Payah ke sebenarnya kita untuk bersyukur? Semuanya kerana kita yang mengganggapnya sukar. Semuanya kerana kita yang sering mengganggapnya mudah. Kerana kita semua sering lupa pada Dia. Kerana kita semua sering lupa akan kekuasaan dan kebesaranNya. Sekiranya kita sedar, pasti kita takkan sekali-kali melupakan Dia Yang Maha segalanya. Tetapi kenapa kita sering lupa? Kenapa aku juga sering lupa? Adakah kerana kita selesa? Adakah kerana takdir yang Dia berikan pada kita yang baik-baik sahaja, jadi kita lupa akan adanya Dia? Atau kita sendiri tidak mahu mengingati Dia? 


Em.. Ya Allah..Kuatkanlah semangat kami. Kuatkanlah iman kami agar kami akan sentiasa mengingati diriMu. Agar kami sentiasa memohon dan bersyukur kepadaMu.



Tuesday, March 8, 2011

Ya Allah

Ya Allah,
Kau ampunkanlah dosa-dosaku,
Kau ampunkanlah dosa-dosaku yang telah lalu,
Yang kini dan yang akan Kau temui,
Kau jauhkan aku Ya Allah dari segala kejahatan,
Kau jauhkanlah aku dari segala kemungkaran.


Ya Allah, 
Kau kuatkanlah semangatku,
Kau tabahkanlah hati hambamu,
Kau semaikanlah jiwa ini dengan ketenangan dariMu.

Ya Allah,
Aku memohon padamu,
Kau berikanlah padaku segala kekuatan pada jiwa dan hatiku,
Kau permudahkanlah segala perjalanan hidupku,
Kerana hanya Kau yang menentukan segalanya,
Kerana hanya Kau jua yang mempermudahkan segalanya.

Ya Allah,
Kau lindungilah jiwaku,
Kau balutilah hatiku,
Kau semaikanlah diriku,
Dengan rahmat dariMu,
Kerana Kaulah yang Maha Melindungi dan Maha Merahmati segalanya.

Ya Allah,
Kaulah yang Maha Mengetahui,
Kaulah yang Maha Pengampun dan Penyanyang,
Kaulah yang Maha segalanya,
Di bumi dan juga di langit serta di sekian alam,
Dan hanya padaMu kami berlindung,
Dan hanya padaMu kami memohon,
Agar Kau merestui dan mempermudahkan segalanya.

Wednesday, February 23, 2011

Sedihnya...

Kasihannya dia... Kasihan juga kawan-kawannya.. Cuba sedaya upaya untuk mengembirakan hatinya. Tapi, mereka tak tahu dia sudah menangis sebelum itu. Mengapa? Ish..Ish..Ish.. Kenapalah hatinya begitu nipis bagaikan kulit limau? Mengapakah hatinya sering meronta-ronta? Kasihan dia kan...? Jauh sungguh hatinya pergi..

Kadang-kala sering juga dia terfikirkan, apakah salah dirinya? Mengapa kawannya buat begitu padanya? Kawan-kawan yang lain pula..sedaya upaya menceriakan hatinya. Terima kasih untuk kawan-kawannya. Terima kasih kerana mengembirakan hatinya. Terima kasih juga kerana menceriakan hatinya. Tapi, mengapa kawannya seorang ini? Dah benci agaknya dia pada dirinya. Dah meluat kot nak melihat wajahnya. Biarlah.. Dah memang dirinya ini hina. Dah memang pun dirinya ini banyak dosa. Baik duduk jauh-jauh dari orang macam dirinya supaya kawannya itu nanti tidak akan diperkata. 

Walaupun begitu, hatinya tetap bersyukur kerana dia mengenali semua kawan-kawannya termasuklah kawannya yang seorang itu. Walaupun kawannya yang seorang itu dah tak nak berkawan dengan dia, dah tak nak pun bercakap dengan dia, dah tak nak pun tengok muka dia, dah tak nak pun menjawab panggilan dan sms dia...dan dah tak nak segalanya lah yang ada kaitan dengan dia. Jadi, dia kenalah menghormati pendirian kawannya itu kan..walaupun hakikatnya hatinya amat-amat terluka.

Sedih kan kalau kita ditinggalkan kawan. Kawan yang baik, kawan yang sering berkongsi cerita, kawan yang selalu berkongsi suka dan duka, menangis bersama, ketawa bersama. Tetapi, apa yang dapat kita lakukan hanyalah berdoa agar suatu hari nanti terbuka hati kawan yang meninggalkan kita itu mendekati kita kembali. Putus asa sudah menjadi lumrah apabila sampai ketika kita merasakan apa yang dilakukan dan ditunjukkan oleh kawan kita itu terlalu menguris hati dan perasaan kita. Tetapi, untuk kita mengerti, kita anggaplah ada kesilapan dan kesalahan kita terhadap dia yang dia tidak dapat menerimanya. Semoga suatu hari nanti, kawan kita itu memaafkan kesilapan dan kesalahan kita. Dan dia mahu berkawan dengan kita kembali.... :(

Tuesday, February 15, 2011

Sahabat

Kasihan dia... Ke manakah ingin dia mengadu? Selalu ada juga seorang insan yang selalu bersama-samanya. Kini, entah ke manalah insan itu pergi. Insan yang suatu ketika itu bergelar sahabat sejati. Baginya, itulah sahabat sejati untuknya selamanya.

Pelbagai cerita yang sering orang perkatakan. Adakah benar insan itu melakukan sedemikian padanya? Tak mungkin..tak mungkin... Itulah kata hatinya. Dia sering menangkis segala keburukan yang didengar tentang sahabatnya. Entah apalah yang diberikan oleh sahabat itu kepadanya kan..? Itulah kata-kata yang sering menguris hatinya. Benarkah itu berlaku? Tiada apa yang diberikan.. cuma baginya keyakinan dan kepercayaan itu sudah memadai.

Entahlah kadang-kala rasa seperti ditinggalkan. Kadang-kala rasa seperti dibenci oleh sahabatnya sendiri. Atau mungkinkah itu hanya perasaannya semata. Atau mungkinkah dia yang hanya mementingkan dirinya sendiri. Dia yang lupa pada sahabatnya. Dia yang membiarkan sahabatnya. Sehinggakan dia merasakan dirinya dipinggirkan. Ish..tak tahu yang mana satu yang betul. Mungkin sama sahaja. Mungkin dia yang ditinggalkan atau mungkin juga dia yang meminggirkan dirinya sendiri.

Itulah sebenarnya diri kita. Kadang-kala kita sering terleka. Kita sering menyalahkan orang lain termasuk sahabat kita sendiri tanpa kita sedar kita juga melakukan perkara yang sama. Suatu ketika ada seorang sahabatku menceritakan pada suatu hari, seorang sahabat arwah adiknya telah datang mengunjunginya di rumah dengan tujuan menziarahi keluarganya. Pada waktu itu, dia baru mengetahui bahawa sahabat arwah sering mengunjungi pusara arwah semenjak arwah meninggal dunia. Sahabatku itu membuatkan sahabat-sahabat yang lain berfikir.. Dia menyatakan, pernahkah kita terfikir apabila kita meninggal kelak, adakah sahabat yang akan selalu mengunjungi pusara kita seperti yang berlaku pada arwah adiknya? 


Pada ketika itu, aku juga terus terfikir siapakah sahabatku yang akan mengunjungi pusaraku kelak? Adakah aku memiliki sahabat seperti itu? Atau adakah aku ini layak untuk dihargai sebagai sahabat seperti itu? Entahlah.. sama-samalah kita memikirkannya agar kita dapat menjadi seorang sahabat yang benar-benar sahabat kepada orang lain dan memperolehi sahabat yang benar-benar bergelar sahabat.

 

Susah ke senang ye...

Susah ke senang ye..? Semua itu akan lebih mudah andai ramai-ramai melakukannya. Benar ke kenyataan "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Em..aku yakin dengan kenyataan itu.

Melihat mereka yang bertungkus-lumus melakukan sesuatu untuk kebaikan membuatkan aku merasakan diriku terlalu beruntung mengenali mereka ini. Kegembiraan yang terpancar di setiap wajah mereka menghilangkan realiti sebenar bahawa mereka di dalam kepenatan yang tiada terhingga. Aku bersyukur kerana dipertemukan dengan insan-insan ini. Apapun yang mereka lakukan senyuman takkan putus dari mulut mereka. Begitu hebatnya insan-insan ini. Kerana mereka aku masih terus berdiri. Kerana mereka aku akan terus ingin bersama-sama orang-orang yang hebat.

Kadang-kala bila dah membuat sesuatu kerja itu pasti ramai yang inginkan pulangan yang lumayan. Tetapi apa yang berlaku kadang-kala tidak seperti yang kita jangkakan. Itulah beruntungnya berkerja bersama-sama insan yang tidak mementingkan keuntungan. Sanggup bertungkus-lumus walaupun tahu pulangannya tidaklah setakat mana. Janji pulangan itu dapat disumbangkan buat mereka yang memerlukan.

Kadang-kala kita sering terfikir bahawa dah ramai yang membantu golongan-golongan yang memerlukan. Kerajaan pun setiap tahun ada dana untuk golongan-golongan ini tetapi mereka lupa bahawa kita ada masih ramai lagi di luar sana yang perlukan bantuan. Mana cukup sekadar mengharapkan orang lain. Mengapa tidak kita juga melakukannya. Andai kita sama-sama melakukannya, pasti kerja-kerja itu tidaklah seberat mana kan.. Ayuh, kita sama-sama fikirkannya...

Thursday, February 10, 2011

???

Kenapa dia sering bersedih? Mengapa dia sering menangis? Ish..Ish..Ish.. Tak ada siapa ke yang nak pujuk? Dia selalu merasakan dirinya dipinggirkan. Kenapa dan mengapa dia harus merasakan sedemikian? Kerana keyakinan dan kekuatan dirinya dah tak adakah? Em..begitu banyak persoalan yang dia sendiri tidak mampu memberikan jawapannya...

Pernah suatu ketika dahulu dia selalu sahaja menangis tanpa mengira tempat dan waktu. Baginya air mata itu adalah peneman hidupnya. Air mata itu adalah segalanya untuknya. Dia hanya tahu meluahkan segalanya melalui air mata. Tetapi mengapa dan kenapa air mata? Tak bolehkah dia kuat semangat? Tak bolehkah dia melawan segala emosi yang ada dalam dirinya? Em..entahlah.. 

Kini dia cuba kuat. Kini dia cuba mengubah dirinya. Takkan ada orang lain yang mampu mengubah diri orang lain melainkan dirinya sendiri. Em.. mampukah untuk dia kuat? Pasti dia mampu kerana kekuatan itu adalah dirinya. Kekuatan itu lahir dari dalam dirinya. Jangan dirinya lupa itu semua ada dalam dirinya. Ah... Mudahnya berbicara.... Tetapi mampukah untuk melakukannya? Yakin itu penting. Yakin itu perlu ada. Baru semuanya berjaya kan? Cuba dahulu.. Lihat keputusannya..

Sunday, January 30, 2011

Manusia & Intergriti

Manusia dan intergriti...? Apa sebenarnya? Kadang-kala manusia mudah lupa tentang diri mereka sendiri. Terlalu leka dengan kemewahan dunia atau sengaja tidak mahu melihat siapa diri sebenarnya. 

Di dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan kekalutan ini, manusia kadang-kala tewas dengan segala pujuk rayu serta godaan yang diterima dari hari ke hari. Ini menguji intergriti diri samada kita masih terus berpegang dengan prinsip hidup kita atau kita sudah semakin jauh dengannya. Manusia terlalu lemah di dalam memelihara intergritinya kerana manusia itu terlalu mudah dipengaruhi dan mempengaruhi. Tiada prinsip hidup yang baik dan kuat akan memberikan jalan dan ruang buat manusia lain menguji intergriti manusia itu. Kita sering meminta kepada anak-anak generasi baru untuk membina prinsip hidup yang baik dan tinggi nilai positifnya tetapi kita lupa apa yang kita utarakan kepada mereka bukan seperti yang kita pertahankan dan kita amalkan. Salahkah untuk anak-anak ini keliru dengan maksud orang dewasa? Manakah salahnya? 

Intergriti akan wujud dalam diri seorang insan yang memiliki prinsip hidup positif yang tinggi. Intergriti hanya akan wujud di dalam hati insan-insan yang tahu tentang perbezaan yang wujud di antara baik dan buruk. Mengapa? Kerana orang yang tidak mempunyai intergriti adalah orang yang tiada pendirian di dalam hidupnya dan dia lebih suka membuat sesuatu demi untuk materialistik semata-mata tanpa memikirkan kehidupan generasi-generasi yang dia warisi di masa hadapan.

Sukarkah untuk kita memelihara intergriti kita sebenarnya? Di dalam dunia yang serba membangun dan bersaing, intergriti manusia sering dipertaruhkan. Tetapi semuanya terletak kepada diri kita sendiri kerana yang menentukan masa hadapan kita adalah diri kita dan bukan orang lain. Jadi, masih salahkah dunia yang wujud dengan simbol kemewahan ini? Tidak sama sekali kerana erti kemewahan itu kita ciptakan sendiri. Sekiranya kita memilih untuk kemewahan itu dengan erti kata kita memilik 3 hingga 4 buah kereta mewah, rumah banglo, duit yang berkepuk-kepuk, maka, hala tuju kita akan ke arah yang sama. Tetapi, andai kita memilih kemewahan itu adalah keserdehanaan semata-mata, maka, hala tuju itu yang kita mahu hidupkan. 

Ukurlah baju di badan sendiri. Hiduplah dengan kemampuan yang kita ada kerana kita tahu apa yang kita mampu dan kita takkan pernah meminta lebih daripada itu. Terus-terusanlah menyemai benih intergriti dan prinsip yang baik di dalam diri yang setelah sekian lama ibu dan ayah kita bina di dalam diri kita sejak kecil lagi. Jangan lupa pada asal usul kita. Jangan riak dan takbur serta janganlah memilih kehidupan yang bukan atas landasan hidup kita yang sebenarnya. Baliklah ke pangkal jalan ke arah landasan hidup kita yang telah terbina. Ikutlah haluan itu dengan keredhaan dan mohonlah daripada Dia Yang Maha Kuasa untuk segala-galanya kerana Dia sahaja yang mampu mengubah kehidupan kita bukan orang lain. Ingatlah bahawa rezeki yang kita miliki adalah semua daripada Dia dan sekiranya rezeki itu bukan untuk kita tetapi kita cuba mengambilnya daripada orang lain maka, hilang keberkatan rezeki itu dari kita dan pasti akan ada pembalasan daripada Dia Yang Maha Kuasa.
  

Friday, January 28, 2011

Kesungguhan & Kepercayaan

Assalammualaikum.. & Salam Sejahtera...

Alhamdullillah.. semalam selesai sudah satu garapan ilmu baru yang diterima. Kekadang kita merasakan kita sudah memiliki segalanya malahan kita merasakan kita sudah mengetahui segalanya. Perkara-perkara yang kita kadang-kala anggap mudah tidak semestinya mudah dan perkara yang kita anggap sukar tidak semestinya sukar untuk kita kecapi. Apa-apapun semuanya terpulang kepada kehendak dan kemahuan kita. Seandainya kita mahukannya pasti kita akan cuba sedaya upaya memilikinya. 

Seperti kata Andrew Matthew, kita sering kali melakukan perkara yang kita percaya. Kepercayaan itu adalah cara dan gaya hidup kita. Kita akan menjalani kehidupan seperti mana yang kita percaya. Maka, rakan-rakan, andaikata kepercayaan kita itu suatu kegagalan, maka akan terus-terusanlah kegagalan itu kita alami. Sekiranya kepercayaan kita adalah apa jua yang kita lakukan pasti akan mencapai kejayaan, maka, KEJAYAAN itu adalah milik kita.

'PASSION' adalah satu kuasa yang dapat memberikan perubahan dan kejayaan. Lakukan sebarang perkara dengan kesungguhan kerana itu akan terlihat di wajah kita. Segala penerangan yang menyakinkan adalah yang dikeluarkan daripada hati kita dengan nilai 'PASSION' yang sebenar. Dengan memiliki 'PASSION', kita mampu menyakinkan ramai orang untuk mempercayai kita. Tetapi ingatlah biarlah apa yang kita cuba lakukan adalah perkara yang baik-baik sahaja agar kita menggunakan 'PASSION' itu ke arah yang baik.

Tuesday, January 25, 2011

Salam Pertemuan

Salam buat semua yang bertandang ke blog saya..

Sesuatu kelainan yang ingin saya cuba. Saya belum pernah mencuba untuk membuat blog sendiri tetapi atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, apalah salahnya kan...:-) Semoga apa yang akan kita perbincangkan di sini nanti akan mendatang pengetahuan untuk perkongsian bersama rakan-rakan sekalian. 

Salam pertemuan buat semua.. tidak sabar rasanya ingin terus-terusan menulis di dalam blog ini.. Ayuh rakan-rakan sekalian sekiranya ada kesempatan anda semua, ayuhlah berkongsi segala pengetahuan dan ilmu bersama. Semoga ilmu yang dikongsi bersama akan membawa kepada keredhaan daripada Dia Yang Maha Kuasa..

Semoga kita bertemu lagi.. Salam pertemuan dan salam sejahtera... Assalammualaikum..