Tuesday, February 15, 2011

Sahabat

Kasihan dia... Ke manakah ingin dia mengadu? Selalu ada juga seorang insan yang selalu bersama-samanya. Kini, entah ke manalah insan itu pergi. Insan yang suatu ketika itu bergelar sahabat sejati. Baginya, itulah sahabat sejati untuknya selamanya.

Pelbagai cerita yang sering orang perkatakan. Adakah benar insan itu melakukan sedemikian padanya? Tak mungkin..tak mungkin... Itulah kata hatinya. Dia sering menangkis segala keburukan yang didengar tentang sahabatnya. Entah apalah yang diberikan oleh sahabat itu kepadanya kan..? Itulah kata-kata yang sering menguris hatinya. Benarkah itu berlaku? Tiada apa yang diberikan.. cuma baginya keyakinan dan kepercayaan itu sudah memadai.

Entahlah kadang-kala rasa seperti ditinggalkan. Kadang-kala rasa seperti dibenci oleh sahabatnya sendiri. Atau mungkinkah itu hanya perasaannya semata. Atau mungkinkah dia yang hanya mementingkan dirinya sendiri. Dia yang lupa pada sahabatnya. Dia yang membiarkan sahabatnya. Sehinggakan dia merasakan dirinya dipinggirkan. Ish..tak tahu yang mana satu yang betul. Mungkin sama sahaja. Mungkin dia yang ditinggalkan atau mungkin juga dia yang meminggirkan dirinya sendiri.

Itulah sebenarnya diri kita. Kadang-kala kita sering terleka. Kita sering menyalahkan orang lain termasuk sahabat kita sendiri tanpa kita sedar kita juga melakukan perkara yang sama. Suatu ketika ada seorang sahabatku menceritakan pada suatu hari, seorang sahabat arwah adiknya telah datang mengunjunginya di rumah dengan tujuan menziarahi keluarganya. Pada waktu itu, dia baru mengetahui bahawa sahabat arwah sering mengunjungi pusara arwah semenjak arwah meninggal dunia. Sahabatku itu membuatkan sahabat-sahabat yang lain berfikir.. Dia menyatakan, pernahkah kita terfikir apabila kita meninggal kelak, adakah sahabat yang akan selalu mengunjungi pusara kita seperti yang berlaku pada arwah adiknya? 


Pada ketika itu, aku juga terus terfikir siapakah sahabatku yang akan mengunjungi pusaraku kelak? Adakah aku memiliki sahabat seperti itu? Atau adakah aku ini layak untuk dihargai sebagai sahabat seperti itu? Entahlah.. sama-samalah kita memikirkannya agar kita dapat menjadi seorang sahabat yang benar-benar sahabat kepada orang lain dan memperolehi sahabat yang benar-benar bergelar sahabat.

 

No comments:

Post a Comment