Wednesday, March 7, 2012

Fahami Dengan Jiwa

Aku nak mulakan cerita dengan suatu persoalan. Bagaimana mampu untuk kita membuatkan orang sekeliling memahami kita? Pasti dengan memahami mereka. Aku nak cerita tentang manusia yang ku kira kira jenis yang saja nak buat buat tak faham.

Rupanya ramai yang jenis begitu. Jenis yang buat buat tak faham. Sudah dijelaskan, sudah diterangkan, juga sudah diperhalusi, masih juga tak mahu faham faham. Membuatkan yang lain disekelilingnya jadi binggung. Adakalanya jadi tidak menentu. Mengapa tergamaknya dia? Buat begitu. 

Menyakitkan hati, memedihkan rasa dan melukakan jiwa. Itu yang dia lakukan. Walau seribu kali kemaafan dipinta, walau seribu kali juga kemaafan diterima, hanya dengan jiwa yang benar, hanya dengan hati yang ikhlas, kesilapan tiada lagi terulang. 

Wahai rakan rakan tersayang, andai kita tahu kita melakukan kesilapan, andai kita tahu kita melukakan, andai kita tahu kita menyakitkan, maka, sedarlah kita dengan jiwa yang sebenar agar tiada lagi kita tergamak lakukan sesuatu yang melukakan, menyakitkan sekali lagi.

Wednesday, January 25, 2012

Insan Lain Juga Punya Hati

Assalammualaikum, waduh sudah lama benar tak jengok blog nie. Rindu gak nak menulis.. Aku ada sedikit cerita yang terkini...

Tak faham dan tak mengerti, mengapa ada insan yang kadang kala tak sedar apa yang diperkatakan oleh dirinya. Pernah tak dia rasa dia akan menyakiti hati orang lain? Baik ke kalau kita sakitkan hati orang lain? Apa kita rasa kalau orang kata dan sakitkan hati kita? Mungkin dia ini tak rasa atau dia saja buat buat tak rasa. Takkan ada orang yang disakiti tak sakit hati kan? 
Mungkin benar dia tak rasa apa apa. Tetapi itu bukan alasan untuk dia menyakiti hati orang lain. Ada pelbagai cara untuk kita menyatakan maksud agar orang lain memahami. Mengapa dia tak mahu untuk berfikir cara atau kaedah yang lain? Perlukah untuk dia menyuarakan ketidakpuasan hatinya di khalayak ramai? Aku rasa itu tak perlu!

Wahai insan yang mempunyai hati, 
Jagalah perilaku serta kata katamu agar tidak menyinggung perasaan insan lain,
Wahai insan yang mempunyai hati, 
Berikanlah sentuhan sensitivitimu kepada hati insan lain,
Wahai insan yang mempunyai hati, 
Hati insan lain juga perlu dijaga,
Wahai insan yang mempunyai hati,
Andai engkau benar benar punyai hati,
Mengertikan, fahamikan, insan lain juga punya hati. 

Monday, November 28, 2011

Kesungguhan Itu Menyentuh Hati Mereka Yang Menghargai

Persoalannya bukan kemenangan yang diinginkan tetapi kesungguhan yang ditunjukkan menjulang kemenangan yang mutlak. Kekal di dalam ingatan..kekal di dalam hati..kekal di dalam memori. 

Adakalanya kita perlukan kemenangan itu. Bukan untuk sesiapa tetapi untuk diri sendiri. Diri yang telah bertungkus lumus berusaha untuk mengecapi kemenangan. Segala tenaga telah dikerahkan, segala masa telah diluangkan, dan segala material telah dikorbankan hanya untuk mengecapi kemenangan. Begitu bersungguhnya mereka. Keikhlasan terserlah di wajah wajah mereka. Minat yang mendorong mereka untuk meneruskan walaupun begitu sukar. Segala kesukaran ditempuhi bersama bagi memperoleh kesenangan. Sebegitu hati hati mereka ini. Tetapi masih ada yang tidak mengerti atau cuba untuk mengerti. Tetapi masih wujud manusia yang ingin meretakkan semua yang telah dibina.

Wahai hati hati itu, jangan mengalah. Jangan hiraukan mereka yang tidak mengerti. Jangan pedulikan mereka yang tidak mahu menghargai. Aku begitu kagum dengan hati hati ini. Segala yang dipertaruhkan dan diperjuangkan bagiku bukan untuk kemenangan tetapi mereka ini telah peroleh kejayaan di hatiku dan jua hati hati mereka yang ingin menghargai. Kesungguhan itu telah menyentuh hati mereka yang tahu menghargai.

Sunday, November 13, 2011

Kuatnya Dia...

Sudah lama benar aku tidak melayari blog ini. Bukannya tak ada cerita. Banyak yang ingin aku ceritakan, cuma, kesempatan itu tiada. Ini ada sedikit coretan buat teman-teman. 

Kadang-kala di dalam kehidupan ini kita amat menyakini bahawa kita sering menghadapi dugaan lebih daripada orang lain tetapi sebenarnya ada yang lebih menghadapi dugaan yang begitu besar. Pernah kita mendengar pepatah ada menyatakan bahawa, "Kalau kita ingat kita susah, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita." Benar kata-kata itu. Apa yang aku dengar baru-baru ini telah menyentuh hatiku.

Orang yang selalu kulihat begitu ceria tetapi peritnya tiada terduga. Orang yang kulihat begitu tenang wajahnya rupanya begitu kelat manisnya. Apa yang dialami rupanya jauh daripada apa yang aku gambarkan. Baik hatinya membuka ruang bagi membantu insan-insan tersayang sehinggakan dirinya melalui hidup yang amat menyakitkan. Entah makan atau tidak. Entah senang tidurnya atau tidak. Entah mandinya benar-benar basah atau tidak.

Kuharap dia akan terus kuat sekuat batu di lautan. Walaupun dihempas ombak namun tidak berganjak. Kuharap dia mampu mencari jalan seperti melihat cahaya yang terang di dalam kegelapan. Cahaya menjadi panduan untuk ke jalan keluar sebagai penyelesaian. Semoga Allah mengujinya sekuat dugaan yang mampu diterimanya. Semoga pahala yang besar menanti dirinya di duniamu Tuhan. Insya Allah....

Wahai sahabat, kuatlah dalam menghadapi dugaan. Tuhan tetap bersama untuk menemani. Kerana hanya pada DIA kekuatan yang mutlak diperolehi.

Monday, July 18, 2011

Aku Dan Dia

Hatiku hari ini amat sedih. Air mata bagaikan tak mahu berhenti mengalir. Ketentuan yang Allah telah tetapkan untuk hambaNYA bersabar dan mengharungi segalanya dengan redha. Walaupun redha, mengapa air mata ini terus mengalir.

Terlalu lama telah kukenali dia. Perpisahan ini begitu memberikan kesan buat hati ini. Tiada usaha yang dapat dibuat lagi. Tiada kuasa yang dapat dipertahankan lagi. Semuanya telah ditentukan oleh Dia Yang Maha Kuasa. Dia benar-benar menguji diri ini. Hati, bersabarlah, kerana ini telah tertulis perjalanannya. 

Aku kuatkan hati ini untuk menerima segala. Agar persahabatan ini takkan terputus buat selamanya. Sukar untuk kuungkapkan betapa sayangnya aku pada dia. Terima kasih Ya Allah, kerana pertemukan aku dengan dia. Terima kasih kerana aku dapat belajar dari dia. Terima kasih Tuhan kerana perkuatkan ikatan aku dan dia. Ya Allah, pertahankanlah pertalian persahabatan aku dan dia hingga ke akhirnya.... Insya Allah....


Wednesday, May 11, 2011

Manusia Ada Kelemahan & Kekuatan Tersendiri

"Bodoh, Stupid, Goblok (entah camner ejanyer)"... Adui, sedapnya la dia berkata-kata. Suka hati jer. Ingat kitaorang semua nie siapa?

Memang la kitaorang nie bukannya berpangkat besar. Bukan juga orang yang ada-ada. Bukan juga pengarah kementerian mana-mana. Tapi...kami semua nie pun manusia biasa. Jangan la ingat nak sedap mulut je. Ingat sama hati dan perasaan orang lain.  

Kita jangan ingat kita berpangkat besar, kita tahu segalanya. Pada dasarnya, ada pun fakta yang diberi silap juga. Jangan kita suka-suka membodohkan, mem'stupid'kan orang lain, kerana kita tidak tahu apa yang mereka tahu. Tah-tah ilmu mereka lebih tinggi daripada kita. Kan dah malu kalau mereka menyuarakan pada ketika itu juga. Mujurlah, mereka-mereka ini di antara orang-orang yang sabar. Kalau tidak, mahu pecah bilik seminar tadi. Ish..ish...ish..tak mampu dibayangkan.
Kita semua manusia adalah sama. Pandai, bijak atau tidak bukan ukuranya. Kita mungkin tidak bijak atau pandai di dalam sesuatu perkara itu tetapi...ingat bukan kita tidak pandai di dalam sesuatu perkara yang lain. Allah telah menciptakan manusia yang setiapnya mempunyai kelemahan malah juga kekuatan. Yang penting, samada kita mahu kelemahan itu menjadi kekuatan. Pasti apa yang kita tidak tahu mampu kita belajar daripada mereka yang lebih mengetahuinya.Kita seharusnya menghormati dan menghargai sesama manusia. Ingatlah, bukan kita yang paling bijak atau pandai tetapi Dia Maha Mengetahui segalanya.

Tuesday, April 26, 2011

Ingat Sihat sebelum Sakit

Aduh...sakitnya.. Bukan setakat sakit malahan tak bermaya segala urat sendi anggota tubuh badan keseluruhannya. Nak bangun pun tak berdaya apatah lagi nak buat segala kerja. Ish...ish..ish...tak termampu rasanya.

Wahai teman-teman, 
Pabila tiba saat kita sakit, kita takkan mampu melakukan apa jua perkara. Muntah, demam, selsema dan segalanya telah menguasai kita. Apa yang kita akan lakukan? Waktu itu kita sendiri takkan mampu untuk berfikir walaupun sejenak cuma.

Benarlah kata-kata yang sering kita dengar "Ingat sihat sebelum sakit". Maka, hargailah tenaga kita di mana tika dan waktu kita sihat. Lakukanlah perkara dan tanggungjawab kita sewaktu kita sihat. Kerana bila tiba dan waktu kita sakit, kita akan mula sedar dan akan mula menghargai saat dan waktu ketika kita sihat.